Sejarah Perusahaan Azan

Syarikat ini mula-mula diasaskan secara kecil-kecilan oleh Haji. Abu Bakar bin Ali (1926 – 19 Disember 2016)[1] di Kampung Baru Kuala Jemapoh, Kuala Pilah, Negeri Sembilan dengan nama Perusahaan Azan. Menurut Mohd Ghazali bin Abu Bakar (lahir 1961) iaitu anak beliau dan juga pengarah urusan Perusahaan Azan, nama Azan diambil sempena nama datuknya.[1] Abu Bakar yang merupakan bekas tentera British di Singapura telah memulakan perniagaan dengan modal RM 2,000.[1]

Pada 1972, Perusahaan Azan memulakan usaha sama dengan Perbadanan Kemajuan Negeri, Negeri Sembilan (PKNNS). Pada tahun yang sama, Perusahaan Azan telah berpindah ke Dioh Industrial Estate, Kuala Pilah. Pada tahun 1975, Perusahaan Azan ditubuhkan dengan nama Perusahaan Azan Sdn. Bhd. (PASB). Hal ini merupakan atas saranan Menteri Besar Negeri Sembilan ketika itu iaitu Datuk Mansor Othman yang merupakan rakan sekolah Abu Bakar. Beliau mencadangkan perniagaan dipindahkan ke pekan agar boleh berkembang.[2] PASB turut mengambil kontrak dengan kerajaan untuk membekalkan roti ke beberapa hospital, sekolah berasrama, penjara dan syarikat penerbangan bermula tahun 1981. Pada tahun 1987, Mohd Ghazali mewarisi perniagaan bapanya yang telah uzur sejak 1985 lalu dilantik sebagai pengarah urusan. PASB menaik taraf kemudahannya demi meningkatkan tampungan pengeluaran pada tahun 1996.

Pada tahun 2004, PASB mula menembusi pasaran pasar raya besar menerusi Giant, Tesco, Mydin dan Carrefour (sekarang ÆON BiG). Pada tahun 2010, keluaran PASB dieksport ke luar negara di Oman dan Iraq. Naik taraf kemudahan dilakukan kali kedua pada tahun 2011.